Salah Anggap Masyarakat Tentang Bunting Pelamin. Ini Penjelasan Kepada Mereka Yang Belum Tahu

Salah Anggap Masyarakat Tentang Bunting Pelamin. Ini Penjelasan Kepada Mereka Yang Belum Tahu
“Tahniah! Puan disahkan mengandung. Ikut perkiraan, usia janin lebih kurang 6 minggu,” kata doktor.
“Hah, biar betul doktor, kami baru berkahwin tak sampai 4 minggu yang lalu. Macam mana boleh berlaku, nanti apa kata orang lain tentang kami?” soal pasangan tersebut.

 

Ini lah yang diberikan terma Bunting Pelamin. Tentu ramai yang sedia maklum tentang bunting pelamin atau pernah mendengar mana-mana kenalan yang hamil sejurus selepas berlangsungnya pernikahan.

Bunting pelamin adalah satu istilah misnomer kerana ramai menganggap ibu telah hamil ketika di atas pelamin lagi.

Tentu ada yang berfikiran negatif seperti “Pelik, awalnya dah hamil, anak luar nikah ke ni?” atau lebih teruk si suami sendiri tidak percaya anak tersebut adalah milik beliau. Bahaya tu!

Hah, sebelum kita menuduh pasangan itu yang bukan-bukan pastikan kita mempunyai ilmu terlebih dahulu, atau kita sendiri yang nampak bodoh dan memalukan diri sendiri.

 

Ini penjelasan berkenaan isu bunting pelamin yang anda perlu tahu

Perkiraan usia kehamilan adalah diambil daripada tarikh hari pertama haid yang baru berakhir ataupun nama lainnya last menstrual period (LMP).

Nak lebih faham, contohnya:

 

Tarikh hari pertama haid (LMP) si isteri: 14 Januari 2020

Tarikh bernikah: 28 Januari 2020

Tarikh berjumpa doktor:  28 Februari 2020

Kiraan usia kehamilan: 14 Januari 2020 – 28 Februari 2020 = 6 minggu

 

Jika diambil perkiraan ini bermakna usia kehamilan lebih lama daripada usia pernikahan.

Biasanya apabila anda berjumpa doktor mereka akan menggunakan alat seperti diatas untuk mengira usia kandungan anda. Perlu ingat usia janin dalam kandungan bukan dikira dari masa terakhir ‘bersama’ sebaliknya dikira dari hari pertama datangnya period isteri yang terakhir.

Itu lah sebabnya bila anda berjumpa doktor, soalan pertama adalah, “Bila hari pertama period terakhir?” dan bukan, “Bila last anda ‘bersama’ suami?”. Tahukah anda, sperma mampu hidup selama 3 hingga 7 hari sebelum pensenyawaan. Sebab itu lah doktor tidak boleh mengganggarkan usia kandungan dengan tarikh akhir bila suami isteri bersetubuh.

 

Terdapat juga kes dimana sesetengah ibu sengaja menukar tarikh kehamilan semata-mata kerana risau orang memandang buruk tentang mereka. Jangan lakukan sedemikian kerana usia kandungan anda menentukan due date yang diberi doktor (biasa tarikh 40 minggu selepas hari pertama haid terakhir).

 

Doktor memantau kesihatan dan perkembangan bayi anda mengikut due date, maka jika anda mengubah usia kehamilan ia mengundang risiko buat kandungan dan diri anda sendiri.

 

Konklusi

Maka amat penting bagi setiap pasangan berkahwin untuk bersedia dalam ilmu-ilmu kesihatan dan kehamilan sebegini. Buat kaum wanita, pastikan anda mengetahui cara untuk mengira kitaran haid anda. Dan diharapkan masyarakat tidak terlalu cepat membuat anggapan kepada orang lain.

Bak kata pepatah melayu, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata binasa badan sendiri.

 

 

Rujukan:

  1. https://www.thereporter.my/2017/02/jangan-pandang-serong-pada-wanita-yang.html
  2. https://my.theasianparent.com/bunting-pelamin

Leave a comment

Please note, comments must be approved before they are published