Mengapa Sukar Untuk Menghasilkan Vaksin Covid-19?

Baru-baru ini Timbalan Ketua Perubatan England, Jonathan Vantam telah mengeluarkan kata-kata yang tentunya tiada orang mahu dengarkan: “Kami tidak pasti vaksin (Covid-19) dapat dihasilkan oleh kami”.

Pada waktu ini juga kira-kira 70 pasukan seluruh dunia sedang bekerjasama untuk mengkaji beberapa jenis vaksin menentang Severe Acute Respiratory Syndrome Coronavirus 2 (SARS-CoV-2) atau Covid-19. Walaupun kajian dilakukan dengan kadar yang mengagumkan, saintis masih berpendapat vaksin hanya dapat dihasilkan kira-kira 12 hingga 18 bulan lagi.

Untuk memahami mengapa pendapat itu dikeluarkan dan mengapa para saintis menjangkakan sekurang-kurangnya 2 tahun sebelum vaksin dapat dihasilkan, jom kita kaji dahulu sejarah berkenaan vaksin-vaksin yang terdahulu.

 

Vaksin Paling Pantas Dihasilkan Mengambil Masa 4 Tahun

Vaksin pada prinsipnya mudah namun sangat kompleks pada praktikalnya. Vaksin yang ideal ialah vaksin yang melindungi dari jangkitan, menghalang penyebaran dan paling penting selamat untuk kegunaan manusia.

Mengambil contoh virus demam denggi yang dikenal pasti pada 1943, vaksin pertama dihasilkan hanya diluluskan pada tahun lepas. Manakala vaksin terpantas dihasilkan dalam sejarah adalah untuk penyakit beguk, yang mengambil masa 4 tahun.

Menghasilkan vaksin bagi Coronavirus bukan lah satu perkara yang mudah. Terdapat 3 cabaran utama yang perlu dikendalikan:

  1. Memastikan Keselamatan Vaksin. Seperti vaksin untuk SARS yang telah menjalankan ujian haiwan, kebanyakan vaksin tersebut meningkatkan kelangsungan hayat haiwan itu namun tidak mampu menghalang jangkitan. Beberapa vaksin juga mempunyai komplikasi seperti kerosakan paru-paru. Vaksin Covid-19 perlu diuji secara menyeluruh bagi memastikan keselamatan untuk kegunaan berjuta atau mungkin berbillion manusia.

 

  1. Membekalkan Perlindungan Jangka Masa Panjang. Risiko jangkitan-semula pada mereka yang pernah dijangkiti coronavirus boleh berlaku. Walaupun ia jarang dan hanya berlaku pada sebahagian kecil manusia, ia tetap boleh berlaku setelah beberapa bulan atau tahun. Sekaligus mampu menyebabkan jangkitan global sekali lagi. Vaksin COVID-19 yang berkesan perlu memastikan perlindungan jangka masa panjang untuk manusia.

 

  1. Melindungi Warga Emas. Mereka yang berumur 50 tahun keatas mempunyai risiko mendapat COVID-19 yang kritikal. Perlu diketahui bahawa warga emas tidak bertindak balas kepada vaksin sebaik mereka yang lebih muda. Vaksin COVID-19 yang ideal haruslah berfungsi baik untuk mereka pada golongan ini.

 

Kajian Terdahulu Mampu Percepat Penghasilan Vaksin Covid-19

Namun begitu bukan semuanya adalah berita buruk. Terima kasih kepada kajian-kajian terdahulu untuk vaksin SARS dan MERS, para saintis tidak perlu memulakan kajian dari awal. Ini kerana Covid-19 mempunyai beberapa persamaan sekaligus saintis menamakan virus ini SARS-CoV-2.

Coronavirus mempunyai struktur paku pada permukaannya digelar S protein (pepaku kelihatan seperti crown yang memberi nama Corona). S protein tersebut akan bercantum pada permukaan sel manusia. Maka vaksin yang mampu mensasarkan protein tersebut dapat menghalang percantuman dengan sel manusia sekaligus menghalang daripada virus itu membiak.

Kepada rakyat biasa, tempoh diperlukan mungkin seperti terlalu lama, namun untuk kebanyakan ahli vaksin ia sangat optimistik. Ini kerana normalnya sekurang-kurangnya 10 tahun diperlukan untuk sesebuah vaksin itu diluluskan untuk kegunaan umum.

Maka ayuh kita berdoa dan mengambil tanggungjawab dalam mengamalkan norma baharu serta mengikut segala peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa. Amalkan #socialdistancing, memakai topeng muka apabila sakit serta memastikan kebersihan diri pada tahap yang baik.

 

RUJUKAN:

  1. https://www.theguardian.com/world/2020/may/22/why-we-might-not-get-a-coronavirus-vaccine
  2. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/coronavirus/in-depth/coronavirus-vaccine/art-20484859
  3. https://www.channelnewsasia.com/news/commentary/covid-19-vaccine-coronavirus-why-taking-so-long-develop-stages-12643994

Older Post Newer Post


Leave a comment

Please note, comments must be approved before they are published

Sale

Unavailable

Sold Out

loader_img

    View Detail

    Item added to cart! View Cart.

    https://mylustre.com
    ${{amount}}