Kesilapan Ketika Berbuka Puasa

Waktu berbuka merupakan saat yang ditunggu-tunggu umat Islam yang sudah seharian berpuasa. Ada yang berpuasa 12 jam dan ada juga yang lebih mengikut lokasi dan zon waktu masing-masing. Tidak kira di mana jua anda berada dan berapa lama anda berpuasa, ia bukan alasan untuk anda melakukan kesilapan ketika waktu berbuka puasa. Contoh kesilapan yang mungkin anda pernah lakukan ketika berpuasa adalah seperti berikut:
Makan secara gelojoh
Anda harus berhati-hati ketika menjamah makanan sewaktu berpuasa dan jangan makan dengan gelojoh. Ia boleh membuatkan perut anda tidak selesa dan kembung. Terdapat juga kajian mengatakan makan secara gelojoh dan cepat boleh meningkatkan risiko mendapat penyakit refluks asid perut atau GERD.
Minum air sejuk
Berpuasa dalam keadaan cuaca yang panas boleh membuatkan kita mengidam nak minum air sejuk ketika berbuka. Namun sebenarnya ia tidak bagus untuk sistem pencernaan. Sebaiknya minumlah air suam kosong untuk berbuka puasa. Kemudian boleh disusuli dengan sebarang minuman manis dan sejuk.
Makanan manis
Badan terasa lemah ketika berpuasa kerana tahap gula dalam darah berada pada tahap yang rendah. Ini berlaku kerana anda tidak mengambil sebarang makanan atau minuman ketika berpuasa. Namun jika anda berbuka dengan pelbagai makanan dan minuman, ia mengakibatkan tahap gula dalam darah meningkat secara mendadak. Untuk kesihatan, anda disarankan agar tidak mengambil makanan atau minuman manis dalam jumlah yang tinggi untuk mengelakkan kejutan kepada badan.
Makanan bergoreng
Kandungan minyak dalam makanan bergoreng sememangnya tidak bagus untuk sistem pencernaan. Pengambilan makanan bergoreng ketika perut kosong boleh mengakibatkan perut kembung dan kejang sekaligus menyukarkan sistem pencernaan untuk menghadam makanan.
Makan nasi
Nasi merupakan makanan ruji orang Asia dan ia merupakan antara menu wajib ketika berbuka puasa. Namun sebenarnya ia tidak begitu baik untuk sistem pencernaan. Ini adalah kerana makan makanan berat setelah seharian berpuasa membuatkan perut terpaksa bekerja lebih keras. Sekaligus mengakibatkan perut kembung, pedih dan mual. Jika anda perlu juga makan nasi, tunggu sehingga 30 minit atau sejam selepas waktu berbuka. Paling cepat anda boleh makan nasi selepas menunaikan solat Maghrib.
Makanan pedas
Suka makan makanan pedas? Sebenarnya makanan pedas tidak elok diamalkan ketika bulan puasa. Makan makanan pedas ketika perut kosong boleh membuatkan rasa tidak selesa pada perut dan anda berisiko untuk mengalami sakit perut dan juga cirit-birit.
Kekenyangan
Setelah seharian berpuasa menahan lapar dan dahaga tentulah macam-macam kita nak makan sewaktu berbuka. Namun elakkan makan sehingga terlampau kenyang. Ia tidak baik untuk badan dan boleh mengakibatkan kejutan kepada perut dan sistem pencernaan. Terlampau kenyang juga boleh mengakibatkan anda malas untuk bersolat.
Pendek kata, pilihlah untuk besederhana di bulan puasa ini. Ia sememangnya amalan terpuji dan bukankah itu antara tujuan kita berpuasa? Jadi elakkan perkara-perkara yang disenaraikan di atas, ya?
Sumber: Hello Doktor Medical Panel
Leave a comment