Bakteria Baik yang Memelihara Kulit

Bakteria Baik yang Memelihara Kulit

Menurut pakar dermatologi, Doktor Bucci, kulit kita merupakan ‘tuan rumah’ kepada lebih 500 jenis bakteria. Namun tak semua bakteria itu ‘jahat’ kerana katanya terdapat bakteria baik yang juga merupakan keperluan asas dalam bidang kosmetik.

Tahukah anda , tubuh manusia turut ‘dihuni’ oleh sejumlah bakteria dan ia turut mempengaruhi sehingga 3% berat badan kita? Ya, mujurlah ada sesetengah bakteria tersebut digelar ‘bakteria baik’ dan lebih tepat lagi ia disebut sebagai mikrobiota. Ia merupakan satu sistem perlindungan berharga yang menyumbang kepada pertahanan imun kita. Ia dapat menjaga keseimbangan kulit terutamanya bagi mereka yang memiliki kulit sensitif.

Kecantikan kulit berkait rapat dengan keseimbangan mikroorganisma yang menghuninya kerana ia merupakan barisan pertahanan pertama daripada ancaman luar. Kulit akan kekal sihat jika ekosistem bakteria dapat dibezakan dan diseimbangkan. Kepelbagaian dalam ekosistem bakteria yang rendah sama ada disebabkan oleh faktor luar mahupun dalaman boleh menimbulkan masalah kulit seperti jerawat, dermatitis dan sebagainya. Mikrobiota kulit merangsang sistem imun, mengaktifkan tindak balas fisiologi semulajadi sekaligus menghentikan penularan agen berbahaya terhadap kulit. Ekosistem bakteria baik turut dipengaruhi ketidakseimbangan yang berhubungkait dengan gaya hidup dan juga tekanan yang boleh mengubah sistem pertahanan kulit semulajadi.  

Bakteria Baik dan Kosmetik Terkini

Pendekatan kosmetik terkini telah membuka jalan untuk penggunaan bahan-bahan baru seperti prebiotik. Prebiotik merupakan makanan asas probiotik (terkandung dalam beberapa jenis makanan seperti yogurt). Probiotik merupakan organisma hidup yang jika digunakan dalam kuantiti yang mencukupi mempunyai kesan baik terhadap organisma. Namun ia sukar disatukan dan disebatikan dalam sesuatu formula. Prebiotik pula sebaliknya.Ia boleh dicampur ke dalam losyen misalnya dan memberi manfaat kepada kecantikan dan kesihatan kulit.

Apakah Prebiotik dan Probiotik?

Probiotik: Adalah sejenis bakteria baik yang terdapat pada kulit dan perut manusia. Ia turut terkandung dalam beberapa jenis makanan (lactobacillus dan bifidobacterial) seperti yogurt, tempe, kombucha atau makanan tambahan. Ia mempengaruhi keseimbangan dan komposisi mikroflora kulit. Melalui proses penapaian semulajadi, probiotik menghasilkan sebatian asid seperti asid laktik yang mampu menurunkan pH kulit. Asid tersebut mampu menghalang pertumbuhan bakteria merbahaya.

Prebiotik : Karbohidrat yang tidak boleh dihadamkan oleh badan serta bertindak sebagai makanan kepada bakteria usus dan menggalakkan pertumbuhannya dalam saluran pencernaan manusia. Prebiotik boleh memberikan manfaat kepada keseimbangan mikrob yang baik dan boleh meningkatkan penyerapan nutrien oleh usus. Contoh prebiotik ialah inulin, pektin, beta-glukan dan oligosakarida.

 

Rujukan:

1) http://prpm.dbp.gov.my/

2)https://www.comfortzone.it/en

 

 

 


Leave a comment

Please note, comments must be approved before they are published