Mata Kering? Ketahui Punca Dan Cara Mencegahnya

Mata Kering? Ketahui Punca Dan Cara Mencegahnya

Mata kering adalah keadaan dimana penghasilan air mata anda tidak cukup untuk membasahkan dan menjadi pelincir di bahagian mata anda. Air mata yang tidak mencukupi boleh disebabkan oleh pelbagai punca (1).

Simptom dan Tanda Mata kering

Beberapa tanda dan simptom apabila seseorang itu mengalami mata kering antaranya:

  • Rasa panas dan berpasir pada mata
  • Sensitif kepada cahaya
  • Mata menjadi merah
  • Mata menghasilkan lebih banyak air mata seolah seperti menangis
  • Pandangan sedikit kabur

Gejala mata kering kebiasaannya berlaku seketika sahaja dan ia boleh dihilangkan dengan cara mengelipkan mata dengan lebih kerap ataupun mengelakkan perkara yang menyebabkan mata tersebut menjadi kering (2).

Akan tetapi jika pesakit mengalami masalah ini dalam jangka lebih dari sehari berserta mata yang merah, pesakit dinasihatkan untuk berjumpa dengan doktor.

Punca kurang penghasilan air mata

Terdapat beberapa punca yang menyebabkan kurangnya penghasilan air mata. Perkara tersebut adalah (3):

  • Umur yang semakin meningkat. Orang yang berumur akan selalu mengalami masalah ini
  • Beberapa jenis penyakit seperti kencing manis, rheumatoid arthritis, SLE, Sindrom Sjorgen dan beberapa jenis penyakit yang lain
  • Penggunaan beberapa jenis ubat seperti ubat antihistamin (yang digunakan bagi mereka yang mengalami selesema), penggunaan ubat hormon dan juga ubat anti-depressi
  • Kerosakan pada kalenjar yang menghasilkan air mata

Punca lain yang menyebabkan mata kering

Punca mata kering jenis ini selalu berlaku pada kita sebagai contoh:

  • Duduk di dalam bilik yang berhawa dingin
  • Naik motosikal menggunakan helmet yang tiada penghadang angin
  • Melihat komputer pada jangka masa yang lama.
  • Memandu pada waktu yang lama
  • Terkena asap

Cara untuk mengelakkan mata kering

Terdapat beberapa cara untuk mengelakkan masalah ini daripada berlaku iaitu (4):

  • Elakkan semburan angin ataupun penghawa dingin terus ke mata anda.
  • Tambah kelembapan udara disekitar anda dengan menggunakan humidifier
  • Gunakan cermin mata ketika menaiki motorsikal ataupun menaiki kenderaan yang laju untuk mengelakkan mata menjadi kering disebabkan terkena angin yang laju
  • Rehatkan mata apabila melakukan kerja yang lama terutamanya ketika berhadapan dengan komputer
  • Perhatikan persekitaran. Kawasan padang pasir ataupun kawasan yang tinggi selalunya mempunyai udara yang kering dan menyebabkan air lebih mudah tersejat daripada permukaan mata. Kedipkan mata dengan lebih selalu untuk mengelakkan mata menjadi kering.
  • Posisikan komputer anda lebih rendah daripada aras mata. Ini kerana jika ia lebih tinggi dari aras mata, kelopak mata akan terbuka dengan lebih besar menyebabkan mata lebih cepat menjadi kering.
  • Gunakan ubat titis mata

 

Rujukan:

  1. http://www.aoa.org/patients-and-public/eye-and-vision-problems/glossary-of-eye-and-vision-conditions/dry-eye?sso=y.
  2. www.geteyesmart.org/eyesmart/diseases/dry-eye/index.cfm.
  3. Yao W, et al. Dry eye syndrome: An update in office management. The American Journal of Medicine. 2011;124:1016.
  4. http://www.aao.org/summary-benchmark-detail/dry-eye-syndrome-summary-benchmark–october-2012.